Bab 16 : Warganegara Dalam Negara Islam

DALAM Negara Islam, siapa saja yang berada di dalamnya atau yang mendatang ke situ, atau pelancong-pelancong bahkan pelarian-pelarian yang mencari perlindungan, semuanya secara automatik dianggap warganegara (penduduk negara). Mereka semua dihormati, dilindungi dan dijaga kebajikannya tanpa mengira kaum, bangsa, agama, warna kulit, bahasa dan lain-lain lagi. Demikianlah Islam memandang manusia ini sama sahaja. Bahkan bumi ALLAH ini dianggap kepunyaan bersama. Siapa pun boleh tinggal di mana tempat yang dia suka. Tidak perlu ada sempadan geografi antara negara-negara, tidak perlu ada pasport dan visa. Begitulah takrif kesatuan sejagat atau global menurut Islam.

Cuma sayangnya, dunia hari ini tidak praktikkan konsep ini. Di waktu mereka melaungkan perpaduan dan kerjasama, mereka juga memecah-mecahkan dan mengkotak-kotakkan bumi ALLAH ini, kononnya supaya senang mereka memerintah. Di negara-negara yang katanya Islam pun seperti Kerajaan Saudi dan Iran, kelihatan sama juga, tidak membawa perpaduan sejagat ini. Masing-masing tidak terlepas dari fanatik asobiah ini.

Kita rindukan Negara Islam tulen. Yang ianya terbuka untuk sesiapa saja. Pelancong seolah-olah tetamu yang dilayan sebaik-baiknya. Dan kalau pelancong mahu tinggal lama pun boleh. Pelarian-pelarian juga dikira tetamu dan warga yang pasti dilindungi. Demikianlah Islam membenarkan kerana ia adalah penyelamat, pelindung yang memberi keamanan dan kemakmuran pada warganya.

Untuk memudahkan urusan pemerintahan dan pentadbir-an serta pengurusan warganya, Negara Islam mengkategorikan seluruh rakyat hanya kepada dua kategori, yakni:

1.            Warganegara Islam

2.            Warganegara bukan Islam

Pemisahan ini adalah kerana berbezanya cara hidup orang Islam dengan yang bukan Islam. Ada peraturan yang dikenakan kepada orang Islam tetapi tidak dikenakan pada orang bukan Islam. Misalnya, umat Islam diwajibkan membayar zakat bila cukup nisab dan haulnya, sedangkan umat bukan Islam tidak berzakat. Sebab itu bagi warganegara yang bukan Islam, ada beberapa peraturan khusus untuk mereka.

Mari kita lihat hak-hak yang diberikan oleh Negara Islam kepada warganya yang Islam dan yang bukan Islam.

A. Warganegara Islam

Setiap orang Islam sama ada yang asli (penduduk tempatan) atau mendatang (penghijrah, pelancong, tetamu, pelarian dan lain-lain lagi) mendapat hak asasi yang sama saja. Orang besar, orang kecil, orang berjawatan, orang tidak berjawatan, orang kaya, orang miskin tidak dibeza-bezakan dalam urusan mendapatkan hak-hak asasi ini. Iaitu:

1.            Kebebasan untuk memiliki rumah, harta dan lain-lain.

2.            Kebebasan bekerja dan bercakap.

3.            Peluang belajar di dalam dan luar negeri.

4.            Melaksanakan dan mengurus hak-hak agama.

5.            Kalau dicerobohi, dilindungi dengan penceroboh itu di-hukum.

6.      Mempertahankan maruah diri, harta, keluarga dan lain-lain lagi. Bahkan dalam ajaran Islam seseorang yang mati kerana mempertahankan dirinya, maruahnya, keluarganya dan hartanya itu dianggap mati syahid.

Sabda Rasulullah:

Sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya maka dia dianggap syahid, dun sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan darahnya maka dia juga syahid, sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agama (maruah)nya maka dia syahid dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya maka dia juga syahid. (Riwayat Abu Daud dan At Tarmizi)

Itulah dia hak-hak asasi umat Islam secara umum dalam Negara Islam. Mereka dibolehkan, bahkan bebas berorganisasi, beraktiviti, berdagang, mengumpul harta, berjuang, berhibur, menulis mengeluarkan pendapat dengan syarat tidak melanggar syariat ALLAH dan tidak melanggar hak asasi orang lain. Juga tidak bercanggah dengan arahan pemimpin, yang arahan itu pun sesuai dengan ajaran Islam. Arahan pemimpin yang tidak syar’i tidak wajib ditaati.

Rasulullah SAW bersabda:

Hormat dan patuh wajib kepada orang Muslim sama ada perkara itu disukai atau tidak selama tidak diperintahkan perkara maksiat. Apabila seseorang itu diperintah supaya melakukan maksiat maka tidak ada hormat dan ketaatan lagi. (Riwayat Al Bukhari)

Umat Islam dalam Negara Islam sepatutnya ialah orang orang yang mengikut cara hidup Islam, dengan merujuk kepada Rasulullah dan salafussoleh. Supaya umat Islam jadi macam para Sahabat, yang mereka itu jadi tuan di dunia, jadi tuan di Akhirat. Mereka dapat tumbangkan Rom dan Parsi. Mereka bukan saja jadi negara maju bahkan muncul sebagai empayar yang menguasai 3/4 dunia. Mereka bukan saja terkenal di langit, tapi juga di bumi. Bahkan mereka terus terkenal dan disebut sampai ke zaman ini, 1400 tahun sesudah mereka meninggal. Maqam mereka tetap diziarahi. Mereka bukan saja kaya, bahkan dunia berada dalam tangan mereka. Bahkan sekarang ini mereka sedang diulit kenikmatan Barzakh yang kelazatannya tidak digambarkan dan tidak terkatakan.

Umat Islam kalau terus meniru Barat, nampaknya takkan sampai ke mana pun. Kejayaan dunia pun ala kadar saja. Kalau ada yang kaya hanya bilangan jari sahaja. Kepentingan Akhirat langsung terlepas. Oleh itu apa salahnya kita alih pandangan pada ALLAH. Lupakan Barat dan Timur yang difatamorganakan itu. Jangan-jangan ALLAH dan Rasul akan memberikan segala yang kita impikan itu. Sebab ALLAH telah berjanji untuk menolong dan ALLAH tidak memungkiri janji yang dibuatnya.

B. Warganegara Bukan Islam

Menurut pandangan Islam, terdapat dua jenis warganegara dari kalangan orang bukan Islam iaitu:

1.            Kafir zimmi.

2.            Kafir ‘ahdi (mu’ahid).

kafir zimmi ialah orang bukan Islam yang bermastautin dalam Negara Islam yang mereka itu mengaku taat setia kepada pemerintah dan negara. Mereka walau apa bangsa sekalipun, sama ada penduduk asli (penduduk tempatan) atau mendatang akan mendapat hak-hak asasi seperti jugalah umat Islam mendapat hak-haknya. Yakni:

1.            Kebebasan memiliki rumah dan harta.

2.            Peluang-peluang belajar di dalam dan luar negeri.

3.            Kebebasan bekerja dan bercakap dengan syarat tidak melanggar hak asasi orang lain.

4.        Bebas menganut agama apa jua dan pemerintah atau umat Islam tidak boleh paksa mereka menganut Islam. Sebab ALLAH berfirman:

Tiada paksaan dalam memilih agama. (Al Baqarah: 256)

5.            Berhak untuk menjadi pemimpin atau menteri-menteri di kalangan mereka.

6.         Diberi perlindungan bilamana mereka dicerobohi. Sekalipun penceroboh itu dari kalangan orang Islam sendiri, ia pasti dihukum.

7.            Berhak mempertahankan maruah diri, harta dan keluarga.

Berbeza dengan umat Islam, warganegara bukan Islam tidak dikenakan zakat, fitrah sedekah, berkorban dan lain-lain lagi sebagai sumbangan kepada negara dan masyarakat. Supaya dengan sumbangan tersebut negara akan jadi kuat dan boleh menguatkan pula individu-individu terutama orang-orang susah. Maka untuk tujuan yang sama di samping kepentingan-kepentingan keselamatan dan pengurusan mereka, Negara Islam menetapkan warganya yang bukan Islam mesti membayar jizyah atau cukai kepala. Tidak ada lain-lain cukai selain ini. Kadar cukai ini menurutlah taraf hidup dan kemampuan masing-masing seperti yang diputuskan oleh hakim atau ketua negara.

Bagi kafir mu’ahid yakni orang bukan Islam yang tinggal di Negara Islam kerana adanya hubungan-hubungan diplomatik, ekonomi, perdagangan, persahabatan dan lain-lain lagi, walau apa pun bangsa mereka, dari negara mana, apa agama dan warna kulit, namun tetap dilindungi oleh Negara Islam. Mereka mendapat hak-hak mereka dan dilindungi dari di cerobohi. Samalah halnya dengan kafir zimmi tadi, Kafir Harbi.

Terdapat sejenis lagi orang kafir menurut ukuran Islam. Tetapi mereka ini bukan warganegara. Mereka adalah musuh Islam yang dipanggil kafir harbi. Mereka ada niat untuk bermusuh dengan umat Islam. Orang ini walaupun belum berperang senjata, cuma berperang saraf sahaja, tetapi tetap dianggap sebagai musuh Islam. Kalau mereka menyerang, negara wajib membalas serangan tersebut. Namun umat Islam sekali-kali tidak diajar untuk memulakan serangan, sekalipun perbuatan musuh itu begitu jelas sekali. Tetapi apabila mereka menyerang, wajib dibalas atau dilawan dengan dua tujuan penting iaitu:

1.            Menjaga maruah agama, negara dan masyarakat.

2.            Mengawal fitnah agar kejahatan tidak berpanjangan dan tidak merebak.

Dalam peperangan, harta musuh boleh dirampas sebagai harta rampasan perang. Orang-orang tawanan perang pula dijadikan hamba sahaya. Kecuali kalau dia memeluk Islam, secara automatik dia merdeka dan mendapat hak-hak warga-negara seperti orang-orang Islam yang lain.

Demikianlah pertimbangan Islam dalam memberi keselamatan dan naungan kepada manusia sejagat. Mana ada penindasan dan kekejaman atau peperangan yang ditaja oleh Islam? Ternafilah konon Islam agama peperangan dan kekejaman.