Pemimpin Pilihan Tuhan

TUJUH ratus tahun umat Islam menjadi empayar
Selama itu kerajaan yang berkuasa bertukar ganti
atau silih berganti
Disandarkan kerajaannya mengikut bani masing-masing
Daerah bertambah luas
Ilmu pengetahuan pesat berkembang
dengan berbagai-bagai cabangnya
Rakyat ramai berbagai-bagai bangsa memeluk Islam
Tetapi kerajaan atau pemerintahan yang adil boleh dibilang
Rasulullah SAW dan Khulafa-Khulafaur Rasyidin
Ditambah lagi Umar Ibnu Aziz, Salehuddin Al Ayubi, Muhammad Al Fateh
Ini menunjukkan keadilan itu sangat mahal
Hanya pemimpin pilihan Tuhan atau yang ada isyarat
dari Tuhan sahaja yang boleh melakukan keadilan
Selain itu sekalipun ada, yang boleh banyak beribadah
Namun untuk menegakkan keadilan sangat susah
Kerana keadilan itu sangat mahal
Satu sifat ini sahaja sudah mendekati taqwa
Pemimpin yang adil itu termasuk orang yang
dapat perlindungan Tuhan di Padang Mahsyar
Di setiap zaman kita tahu bahawa
pemimpin yang adil itu datang sekali-sekala
Yang ramai itu adalah pemimpin yang zalim
Yang melakukan sewenang-wenangnya
di dalam pemerintahannya
Yang beraja di nafsu dan beraja di mata
Yang bertindak mengikut rasa
Tidak kira dosa dan pahala,
Tuhan redha atau Tuhan murka
Itu semuanya sudah tidak diambil kira

Menjelang tidur
19 – 12 – 1999
(11 Ramadhan)

Indahnya Negara yang Pemimpinnya Baik

ALANGKAH indahnya sebuah negara
Pemimpin-pemimpinnya laksana ayah
Di dalam bertanggungjawab kepada rakyatnya
Dia seperti ibu, sifat kasih sayangnya
Ibarat guru memberi ilmu dan tunjuk ajarnya
Dengan penuh kasih sayang
Bijaksana dan dia dahulu menghayatinya
Wibawanya tinggi, akhlaknya mulia
Adakalanya dia berwatak pemimpin
Memberi arahan-arahan kepada rakyatnya
dan menghukum dengan adil
Dengan tegas dan penuh hikmah
Tidak ada diskriminasi dilakukannya
Di waktu tertentu sebagai kawan setia
Mengutamakan kawan-kawannya dari dirinya
Memberi maaf ke atas kesalahannya
Meminta maaf kalau dia pula yang bersalah
Apabila berlaku sifat-sifat ini
pada para pemimpin
Alangkah mudah mendidik rakyatnya
di dalam negara
Mereka akan taat dan setia kepada pemimpin
Pemimpin dihormati dan dimuliakan
dengan tidak berpura-pura
Rakyat bekerja dengan penuh gembira dan ceria
Untuk agama, bangsa dan negara
Mereka sanggup mati kerananya
Kedaulatan agama, bangsa dan negara terpelihara
Lahirlah masyarakat yang berkasih sayang
sesama mereka
Bertolong bantu, bekerjasama
Hidup aman, damai dan harmoni
di dalam negara
Dengan pimpinan Allah Taala
yang Maha Esa lagi Berkuasa

April 2001

Berjuanglah Membawa ‘Air’ Jangan Membawa ‘Api’

Engkau meluahkan rasa marahmu melalui lidahmu,
rasa marah itu ibarat bara api gunug berapi,
luahan itu adalah laharnya,
laharnya telah melimpah ruah,
melanda apa sahaja,
aduh berapa banyak harta yang musnah..?
manusia yang cacat dan mati,
begitulah perjuanganmu sekarang,
kamu membawa api,
membakar jiwa-jiwa manusia,
mereka pun sakit hati,
mereka pun membawa api,
membakar hati-hatimu semula,
akhirnya bakar membakar hati terjadi,
dendam kesumat pun membara,
hina menghina, kata mengataterjadi,
beginikah perjuangan Nabi..?
bilakah kamu berjuang membawa air..?
yang akan menyejukkan hati-hati manusia..?
Islam itu indah,bak bunga di Taman,
senang menyenangkan setiap hati,
hati bahagia dan tenang,
berjuanglah membawa air, jangan membawa api,
bawalah air untuk memadamkan api.

Selepas Asar
29-07-1999

Ciri Jemaah Islam yang Sempurna

Ciri-ciri jemaah Islam yang sempurna
Ialah jemaah Islam yang kuat dan berwibawa
Jemaah itu role model di zamannya
Ada pemimpin yang berwibawa
ilmunya banyak, akhlaknya mulia
Boleh memberi ilmu
mampu mendidik pengikut-pengikutnya
Ibadahnya baik, cita-citanya besar
tabah dan sabar
Pengikut-pengikutnya taat setia berkorban
dan rajin bekerja
Berkasih sayang, fikiran mereka selaras
dan bekerjasama
Di dalam jemaahnya ada sistem hidup
di semua aspeknya
Malam menjadi abid, siang menjadi singa
Di luar jemaah mereka mengembara
Pergi berdakwah, membuat kajian
melihat kebesaran Allah
Berhubung dengan manusia
mencari kawan seperjuangan
Setidak-tidaknya mengenalkan perjuangannya
mencari simpati orang
Kepimpinannya satu, menuju satu hala
Pemimpin nombor satu
adalah tempat rujuk dan penentu
Dia adalah lambang kesatuan
dan perpaduan di dalam jemaah

• 11 – 10 – 2002

Muhasabah Pejuang

Ingin kukatakan kepada para pejuang
Juga ingin aku ajukan pertanyaan
kepada pendakwah-pendakwah merata dunia
Khususnya para pejuang
dan pendakwah-pendakwah di negaraku
Di antara kalian ada yang sudah berjuang puluhan tahun lamanya
Selama saudara berjuang sudah berapa orang yang saudara Islamkan?
Di antara orang Islam pula
berapa ramai yang tidak bersembahyang lalu bersembahyang?
Yang sudah bersembahyang berapa ramai pula yang sembahyangnya memberi kesan?
Memberi kesan di dalam peribadinya di dalam keluarganya
di dalam tindak-tanduknya. di dalam pergaulannya?
Kalau ada yang insaf
kemudian menyerah diri kepada kalian
Sudahkah saudara memberi mereka tempat untuk hidup secara Islam?
Jika saudara tidak dapat memberi jawapan yang memuaskan
Ingin aku bertanya, selama ini
apa yang saudara perjuangkan?
Apa yang saudara cakapkan selama ini?
Dakwah yang saudara lakukan
ke mana saudara ajak orang ramai?
Kepada Tuhan? Kepada diri? Kepada partai?
Atau dakwah saudara itu sebagai hobi?
Untuk seronok-seronok dan penghibur hati?
Aku harap nilai semula perjuangan saudara!
Koreksi hati tujuan apa saudara berjuang
Sebelum terlanjur berpanjangan
Selama nyawa masih ada di badan
Agar selepas mati tidak menyesal
Takutilah Allah di setiap perkataan!
Ingatlah Allah di dalam perjuangan
Agar dakwah dan perjuangan kita itu
untuk keredhaan Tuhan
Bukan hobi dan bukan tujuan menghentam orang

Menjelang tidur
28/8/2000

Fungsi Masjid Dirosakkan

Masjid rumah Tuhan
Sudah dirosakkan orang fungsinya
Masjid bukan lagi lambang ketaqwaan
Tapi ia telah dijadikan rebutan untuk sesetengah orang dapat kuasa
Dapat kuasa masjid seolah-olah
dapat nama dan glamor
Bahkan masjid tempat setengah orang mencari makan
Lumrah berlaku masjid dikuasai
oleh orang yang berpura-pura beragama
Yang sebenar, untuk menyekat agama yang tulen agar jangan mendapat tempat
Pakaian mereka kadang-kadang
orang awam terkeliru dibuatnya
Pakaiannya adalah pakaian ahli agama
Tapi hati dan jiwanya
penuh dengan sifat kesyaitanan dan kehaiwanan
lbarat musang berbulu ayam
Untuk menyesat orang ramai yang sudah jahil tentang agamanya
Orang-orang yang baik
tidak dapat tempat di dalam masjid
Bahkan mereka tersisih dari masjid
Ada kalanya mereka malas datang ke masjid
Kerana tidak sanggup melihat masjid
yang sudah dirosakkan orang fungsinya
Orang-orang munafik yang berkuasa berpura-pura menjadi orang saleh
Yang sebenarnya kebanyakan mereka mencari makan di dalam masjid
Atau untuk menguasainya agar jangan sampai
orang yang membawa kebenaran mengimarahkan masjid
Menyedarkan orang ramai di dalam mimbar
Kerana itulah orang-orang jahat itu menjadikan masjid kubu pertahanannya
Agar kebenaran yang tulen
tidak dapat lagi terpancar dari mimbar
Yang akan membawa cahaya kebenaran ke tengah masyarakat
Kerana orang-orang munafik ini takut kalau orang ramai sedar dari masjid
Mereka akan disisihkan
dan ditolak oleh masyarakat

Menjelang tidur 17 – 12 – 1999
9 Ramadhan

Politik Gelanggang Mencari Makan

Sekarang ini politik bukan gelanggang perjuangan menegakkan keyakinan
Ia telah dijadikan gelanggang
tempat mencari makan
Rakyat telah dialatkan atau diperjudikan
Ia sudah terlalu kotor bagaikan tempat pelacuran
Kerana tempat cari makan
ia telah jadi politik wang
Siapa yang berjaya di dalam politik seolah-olah mendapat satu kawasan ladang yang penuh dengan tanaman
Di ladang itu dia boleh mendapat kekayaan
Atau siapa yang berjaya di dalam politik seolah-olah mendapat factory besar tempat mengeluarkan barang
Di situ dia menjadi jutawan tanpa perniagaan
Berebut-rebutlah mereka bergelanggang
di dalam politik melalui parti politik
Apa sudah jadi
bukan bertarung dengan parti lawan bertarung sesama sendiri
Bertarung sesama sendiri di dalam sebuah parti untuk menguasai parti
Kerana di situ ada kekayaan tanpa perniagaan dan boleh jadi jutawan
Tikam kawan sendiri, khianat-mengkhianati jatuh-menjatuhkan
di sesetengah negara berbunuh-bunuhan
Daripada gelanggang politik yang kotor itulah lahir para pemimpin
menjaga negara dan rakyat dan agama
Maka lahirlah
penyangak-penyangak negara dan bangsa yang bertauliah
Lahirlah lanun-lanun terhormat pencuri-pencuri berlesen
mengaut wang rakyat dan negara Rakyat mengharap setiap musim
agar nasib mereka dibela oleh pemimpin mereka
Yang senang hanya segelintir
yang susah dan menderita itulah yang ramai
Tunggu lagi setiap musim pilihan raya
Agar lahir pemimpin-pemimpin pembela rakyat dan cintakan negara
Hasilnya sama juga
Begitulah rakyat di kebanyakan negara menunggu pembela
dari musim ke musim pilihan raya
Jawapannya samaj uga
apa yang berlaku sebelumnya berlaku perkara yang sama
Begitulah nasib rakyat di negara demokrasi
Hanya mengharap dan mengharap harapan tidak kunjung tiba
Begitulah terjadi di setiap pilihan raya nasib rakyat tetap tidak terbela

•Menjelang tidur
17 – 03 – 2004

Pejuang Yang Berlakon

Ada orang berjuang terutama di dalam parti politik
membuat sibuk ke sana ke mari
membuat bantuan sekali-sekala
mencari nama dan glamor
Supaya orang ramai menyangka mereka pembela
Duit dan benda untuk membela
minta daripada kerajaannya
Selepas itu tidak ada kemajuan yang dibuatnya
Sebuah kedai runcit pun tidak ada
Syarikat yang besar-besar orang lain yang punya
Soal agama tak usah dikira, dicuaikannya
Halal haram tidak diambil kira
Pemimpin-pemimpin politik merestuinya
Bahkan gembira
Begitulah pejuang-pejuang politik terutama pemuda pemudinya
turut buat-buat sibuk
Bahkan menyibuk
Rakyat yang tak faham
kerana buta fikiran dan jiwa menganggap mereka pembela
Yang sebenarnya mereka menipu bangsanya
Berlidung di sebalik bantuan mereka, sekali-sekala
Bila hendak pilihan raya
mereka sibuk mencalon dirinya
Kemudian menganggap mereka sudah berjasa
Mereka yang gagal dicalonkan
meminta projek pula
Semua dibuat untuk kepentingan peribadinya
Yang sebenarnya mereka berlakon
membela rakyat
Yang sebenarnya mereka bukan pembela rakyat
Perkara yang tersirat
mereka adalah pengkhianat rakyat
Lebih-Iebih lagi mereka perosak agamanya
Tetapi rakyat kebanyakannya
sudah rosak fikiran dan jiwanya
Masing-masing tidak sedar diri
tipu daya mereka

•3.40 petang,
Sabtu 22 -10 – 2005
19 Ramadhan 1426 H

Pemimpin yang Baik Hanya Ada Seratus Tahun Sekali

Apalah indahnya seorang pemimpin
ketaatan pengikutnya pura-pura
Di hadapannya buat-buat mengangguk
di belakangnya mengutuk
Di hadapan nampak hormat, di belakang melaknat
Apalah ertinya jadi pemimpin
pengikut-pengikutnya bukan mengikut dari hati
Tapi mengikut ada kepentingan peribadi
Apalah erti jadi pemimpin
pengikut-pengikut bukan mengikut
atas dasar prinsip
Bukan atas dasar cita-cita perjuangan
seperti atas dasar agama
atau bangsa dan negara
Tapi ada cita-cita tersendiri,
ia sengaja disembunyi
Apalah ertinya jadi pemimpin
pengikut-pengikut mengikut
selama mana ada untung peribadi
Apabila keuntungan sudah tiada lagi mereka lari
Di hadapan nampak setia, di belakang mencerca
Apalah erti jadi pemimpin
di waktu masih memimpin,
pengikut nampaknya macam taat
macam menghormati
Setelah tidak menjadi pemimpin pengikut habis lari
Dia dilupakan orang, mati baru diberitakan
Pemimpin yang baik
di waktu ada jawatan atau sudah berhenti
dia tetap dihormati
Pemimpin yang baik itu
dia disayangi sampai mati
Kematiannya disedihi
sakitnya diberi simpati, pengikut susah hati
Pemimpin yang baik itu kerana cintanya pengikut
di hadapan rasa bahagia
berpisah rasa terseksa
Di waktu di hadapan rasa senang, tenang
apabila berpisah rasa rindu
Apabila berada bersama pemimpin
rasa tidak mahu hendak berpisah
apabila berpisah hati gelisah
Pemimpin yang baik itu
pengikut berada bersamanya
pengikut terasa kuat, terasa mendapat sesuatu
Apabila berpisah terasa hati kosong
ingin lagi bertemu
Bertemu tidak jemu, berpisah bertambah rindu
Sedihnya pemimpin hatinya terganggu
Pemimpin yang baik itu
dia dirasakan oleh pengikut
dia adalah ibu ayahnya, pemimpinnya
gurunya, kawan setianya
Bertemu pemimpin terasa tenang, lapang
dapat ilmu dan panduan
Manalah ada pemimpin yang semacam ini
di akhir zaman ini
Ia hanya berlaku 100 tahun sekali
Moga-moga kita dapat bertemu
pemimpin seperti yang digambarkan itu
Kita sedang berada di awal kurun moga-moga di kurun ini

• Selepas Zuhur 04 – 02 – 2004

Hizbullah atau Parti Allah

Ciri-ciri jemaah pejuang kebenaran itu
Ia ada mempunyai ciri yang tersendiri
Yang tidak berlaku pada jemaah yang palsu
Zaman rasul ada mukjizat
ada khawariqul ‘adah
ada maunah
Tidak kurang mimpi yang benar
firasat dan kasyaf
serta berita-berita ghaib
Zaman tidak ada rasul ada karamah
Ada khawariqul ‘adah dan maunah
juga mimpi yang benar
firasat dan kasyaf
berita ghaib juga ada
Di sinilah uniknya
jemaah perjuangan kebenaran itu
Apatah lagi yang dijanjikan
Ini tidak akan berlaku
kepada jemaah yang palsu
Bagi orang yang hendak mencari kebenaran
Ciri-ciri ini boleh jadi pedoman
Ia adalah kayu pengukur
Di antara kebenaran dan kebatilan Jemaah kebenaran
Segala-galanya Allah menjamin bantuan-Nya
Sekalipun ujian-ujiannya pasti ada
Kerana ia adalah parti Allah
atau Hizbullah
Parti Allah dijamin kemenangannya
Kita yakin di awal kurun ini
Parti Allah pasti ada Kerana Rasulullah telah bercerita
melalui sabdanya
Kita yakin Hizbullah itu sudah muncul
Bulatkan tekad, jangan syak dan ragu Anggota-anggotanya dipanggil Ikhwan
Sahabat-Sahabat Rasulullah SAW
iri hati mendengarnya
Berbahagialah orang-orang yang bersama
di dalam kapalnya
Ia akan membawa kita ke Syurga

• Malam
06 – 02 – 1999