Bab 17 : Syura Dalam Islam

Firman  ALLAH   SWT:

Bermesyuarat dengan mereka dalam apa-apa urusan. (Ali Imran: 159)

 Urusan mereka (orang Islam) adalah dimesyuaratkan sesama mereka. (Asy Syura: 38)

Rasulullah SAW pun ada bersabda:         .

Hajat tercapai bagi mereka yang membuat ‘istikharah , dan tidak ada penyesalan mereka yang bermesyuarat , dan tidak susah mereka yang berjimat cermat. (Riwayat At Tabrani)

Berdasarkan ayat-ayat ALLAH dan sabda Rasulullah yang tertulis di atas itu, Islam menggalakkan umatnya mengadakan syura (mesyuarat). Kerana berdasarkan pengalaman kita pun, syura ini memang besar faedahnya kepada hidup kita dan masyarakat. Sebab itulah ALLAH sendiri yang memerintahkan supaya ianya dipraktikkan, Selalunya manusia berdepan dengan:

1.            Masalah-masalah hidup di rumah, dalam masyarakat dan dalam negara.

2.            Keperluan-keperluan ekonomi, pendidikan, pembangunan dan lain-lain lagi.

3.            Gangguan musuh.

4.            Kebuntuan fikiran.

Maka semuanya ini, kalau disyurakan baru dapat menghasilkan keputusan yang sebaik-baiknya, dibandingkan dengan keputusan-keputusan yang dibuat secara peribadi.

Erti syura mengikut bahasa ialah berunding atau bertukar fikiran. Manakala dari segi istilah syariat Islam, erti syura atau mesyuarat ialah bertukar fikiran atau berbincang antara dua orang atau lebih terhadap perkara-perkara yang dibenarkan oleh syariat dengan menepati adab-adab, cara-cara yang syar’i dan memperolehi hasil yang baik dan benar untuk tindakan bersama atau seseorang atau satu kumpuIan.

Perkara-perkara yang disyurakan itu ialah sebarang masalah kehidupan seperti menyelesaikan krisis, masalah ekonomi, pendidikan, ketenteraan, pertanian dan lain-lain lagi. Setiap ahli diminta mengeluarkan fikiran, kemudian dipertimbang kan bersama, mana-mana pendapat yang benar atau kuat hujahnya atau tepat atau lebih munasabah dan lebih mendekati kebenaran, maka itulah dia keputusan syura yang wajib diterima bersama untuk tindakan bersama atau tindakan seseorang atau tindakan sesuatu kumpulan.

Dalam syura, perbincangan mesti dua hala atau lebih. Tidak dikatakan syura kalau satu pihak saja yang bercakap dan memberi pendapat. Syura secara Islam mesti dilakukan dengan bertatatertib, beradab, berperaturan dan cara-cara yang ditetapkan oleh Islam. Syura yang tidak ikut kaedah yang syar’i itu tidak dianggap syura Islam walaupun namanya begitu. Nama tidak penting, yang penting ialah ciri-cirinya.

Berikut ialah tatatertib atau disiplin dan adab-adab syura menurut Islam:

1.            Tujuan dan niat ahli syura ialah mencari dan menegakkan kebenaran kerana ALLAH. Masing-masing mesti mengawal diri dari maksud riyak, bermegah-megah, ujub atau untuk hobi semata-mata. Sebaik-baiknya masing-masing mempunyai rasa takutkan ALLAH, kalau-kalau terjadi perbincangan yang tidak tepat dan tidak selaras dengan kehendak ALLAH dan Rasul. Untuk mengelak dari riyak, ujub dan bermegah-megah, caranya ialah masing-masing mengharapkan kebenaran itu datangnya dari orang lain, bukan dari dirinya. Dan dia akan merendah diri untuk menerima dan menyokong kebenaran yang sudah ditemui itu.

2.            Sekiranya kebenaran itu keluar dari mulut kita sendiri, segeralah bersyukur banyak-banyak pada ALLAH, kerana memperlihatkan kebenaran itu kepada kita. Bukankah kita dhaif untuk menemuinya kalau bukan dengan petunjuk dari ALLAH? Dengan ilmu dan keyakinan demikian, Islam menyelamatkan majlis syura dari timbulnya rasa sombong, bermegah-megah, menunjuk-nunjuk pandai, merasa diri lebih, mujadalah, keras kepala, hina-menghina, jatuh-menjatuh dan lain-lain akhlak yang keji.

3.            Di waktu seorang ahli syura bercakap, ahli-ahli yang lain mesti menghormati pandangannya dan sama-sama mendengarnya. Biar dia menghabiskan cakapnya walaupun pendapatnya kita tidak setuju. Memotong cakap kawan atau minta dia berhenti sebelum habis bercakap adalah tidak beradab dalam syura, sikap yang sangat dibenci.

4.            Bila selesai seorang ahli syura memberi pandangannya, ucapkan terima kasih. Kalau didapati cakapnya benar, beri tahniah dengan sepotong doa:

Moga-moga ALLAH membalasi kamu dengan kebaikan.

5.            Kiranya pendapat yang diberi salah, jangan sekali-kali menghinanya. Betulkan dengan mesra dan kasih sayang menggunakan hujah-hujah yang bernas.

6.            Sekiranya kita sendiri yang melakukan kesalahan atau mengeluarkan pendapat yang salah, minta ampunlah kepada Tuhan dan merendah dirilah untuk menerima hakikat kesalahan itu.

7.            Katakanlah terjadi perbezaan pendapat yang serius hingga sukar untuk disatukan pandangan, maka demi perpaduan, pandangan ketua atau pemimpinlah yang mesti diterima.

8.            Dalam syura Islam tidak sekali-kali terjadi mujadalah, berburuk sangka, sakit hati, maki hamun, bertumbuk, baling kerusi, hempas meja, tunjuk pistol, geram, dendam dan se-bagainya. Kerana ahli-ahli syura akan sanggup untuk mengalah, bersabar untuk mencari nas atau bersikap tawaqquf (menerima tidak, menolak pun tidak). Bahkan demi menjaga ukhuwah kerana ALLAH, di akhir majlis, masing-masing akan saling bermaaf-maafan dan berbaik sangka serta bersabar untuk menanti bantuan ALLAH dalam sebarang masalah yang timbul. Di penutupnya, sama-sama membaca surah Wal ‘Asr dan doa kifarah, yakni meminta ampun kepada ALLAH.

InsyaALLAH dengan cara ini, umat Islam akan sentiasa membuat keputusan yang tepat, bersih dan diberkati ALLAH;

Dalam Islam, syarat-syarat untuk menjadi ahli majlis syura sangat dititikberatkan. Tidak semudah syura-syura yang berlaku kini, yang mana siapa saja boleh terlibat. Sifat-sifat ahli majlis sangat menentukan bentuk keputusan sesuatu syura. Baik ahlinya, baiklah keputusannya. Tidak baik ahlinya, tidak baiklah keputusannya.

Atas dasar itu, Islam menetapkan beberapa ciri atau sifat-sifat orang-orang yang boleh dibawa bersyura. Mereka adalah:

1. Beragama Islam. Dengan orang bukan Islam tidak ada syura (yakni dalam urusan khusus umat Islam sahaja). Ini berdasarkan Hadis Rasulullah:

Mereka yang hendak selesaikan sesuatu urusan maka mereka bermesyuarat yang ahlinya orang-orang Islam ALLAH bersama mereka dalam menyelesaikan urusan itu. (Riwayat Ath Thabrani)

Kerana orang bukan Islam ini, mereka tidak tahu mana yang haq dan mana yang batil menurut pandangan Islam. Selain itu, orang kafir yang memusuhi Islam, kalau terbawa ke majlis syura, akan memberi pandangan-pandangan yang jahat dan beracun yang membahayakan umat Islam. Bagaimanapun dalam Negara Islam, hak-hak orang bukan Islam tidak diabaikan sama sekali. Urusan mereka dibincangkan bersama mereka. Ertinya, segala kepentingan bersama dan keperluan mereka disyurakan dengan mereka.

2.            Bertaqwa. Bukan semua orang Islam yang layak dibawa berbincang. Sebab bukan semua orang Islam yang mampu memberi fikiran yang adil dan ikhlas dalam perbincangan dan dalam membuat keputusan. Syarat taqwa ini amat penting dalam mengawal dan mendorong manusia supaya membuat keputusan yang tepat, bersih dan diberkati.

3.            Cerdik, yakni orang yang ada buah fikiran yang baik; bernas, logik, tajam dan tepat. Pandangan dari orang-orang begini saja yang diperlukan. Selain daripada mereka ini, tidak payahlah diundang untuk dibawa berbincang. Sebab mereka akan beri pandangan yang tidak mengena (tepat). Ini menjadikan majlis tersebut membuang masa sahaja. Selain itu, kalau pandangan mereka ditolak, nanti akan timbul kecil hati. Sebab itu lebih baik tidak dibawa ke majlis syura.

4. Seorang yang sesuai dengan bidang yang nak dibincangkan. Syarat ini penting diperhatikan supaya orang-orang yang akan membuat keputusan dalam ha1 yang disyurakan itu, betul-betul orang yang tahu selok-belok perkara tersebut. Kalau orang pertanian, ditanya fikirannya tentang hal-ha1 ketenteraan, tentunya dia akan memberi jawapan yang tidak tepat. Dan kalau pandangannya diterima sebagai keputusan syura, akan merugikan negara dan masyarakat itu sendiri.

Kesilapan ini nampaknya sudah jadi tradisi dalam masyarakat sekular sekarang. Bahkan dalam soal-soal agama pun, penyelesaiannya dicari menggunakan kaedah yang silap ini. Umpamanya, dalam menyelesaikan masalah agama dibuat dalam satu seminar dengan tajuk yang berkaitan. Lalu dijem-putlah di dalamnya segala macam manusia. Yang bukan ahli-nya pun ada, yang tak sembahyang pun ada, yang tak cerdik, kaum perempuan, yang dedah aurat pun ada dan macam-macam lagi. Bila tiba waktu-waktu memberi pendapat, maka digabungkanlah pendapat semuanya itu, lalu dijadikan sebagai keputusan seminar atau keputusan bersama (resolusi) untuk dijadikan tindakan.

Pada saya, keputusan ini sungguh meragukan. Dalam Islam Rasulullah bersabda:

“Tiada agama bagi mereka yang tidak berakal”

Ertinya, di kalangan orang-orang beragama, yang paling cerdik itulah yang paling kuat dan tepat agamanya. Sebab itu perbincangan tentang masalah agama ini hanya layak dibuat oleh orang-orang ini. Orang-orang selain mereka tidak boleh diharapkan ilmu dan fikirannya. Tetapi apa yang berlaku kini, urusan agama bukan ditimbang pada, syarat-syarat ini. Sebaliknya dibuat mengikut selera sekular. Kenaikan mufti misalnya, adalah disyaratkan pada faktor senioriti bukan faktor ilmu, ketaqwaan, kecerdikan dan pengalamannya. Hasilnya, bermula dari kesilapan tadi, macam-macam kesilapan dalam berfatwa telah dibuat, yang akibatnya, banyak masalah timbul dalam masyarakat. Apa yang difatwakan diragui.

BILANGAN AHLI SYURA

Dalam Islam, bilangan ahli majlis mesyuarat bukan mesti sampai satu dewan. Syura boleh dibuat paling kurang antara dua orang anggotanya sahaja. Keputusan perbincangannya dianggap sebagai keputusan majlis syura. Tempat perbincangannya juga bukan mesti di tempat yang dikhaskan dan istimewa atau secara rasmi. Tetapi syura juga boleh berlaku begini:

Katakanlah seorang ketua (pemimpin) ingin mengadakan syura dengan seorang ahlinya yang cukup layak untuk tujuan itu. Dalam waktu berkira-kira nak panggil ahli tersebut, tiba-tiba dia terjumpa di majlis kenduri. Oleh itu, selepas saja majlis kenduri, si ketua boleh terus panggil ahlinya itu masuk kereta, ajak berjalan-jalan sambil berunding hinggalah persoalan itu selesai. Di situlah mereka buat keputusan untuk dijadikan tindakan. Itupun dianggap keputusan syura yang sah. Tanpa membuang waktu dan wang yang banyak.

Cara syura begini, sebenarnya akan memberi hasil yang lebih baik daripada syura yang dibuat secara rasmi. Sebab ia berlaku dalam keadaan yang lebih mesra dan lebih bersifat dari hati ke hati. Tetapi tentunya Islam tidak menafikan majlis-majlis rasmi, di tempat-tempat rasmi dan di waktu-waktu rasmi. Semuanya adalah ditimbang mengikut keperluan, untung dan rugi, strategi dan kehendak keadaan semasa dan sebagainya.

Akhir sekali saya akan senaraikan apakah perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh disyurakan. Kerana dalam Islam bukan semua perkara mesti disyurakan. Ada perkara-perkara yang keputusan hanya dibuat oleh ketua sahaja dan pengikut atau rakyatnya wajib taat dan menerima dengan sepa* kat. Hal begini banyak berlaku di antara Rasulullah dan para Sahabat. Yang mana keputusan dibuat tanpa soal jawab dan perbincangan dengan sesiapa. Sahabat-Sahabat hanya menerima dengan patuh. Kadang-kadang keputusan atau undang undang atau hukum-hukum yang diarahkan begitu memeranjatkan dan tidak difahami. Tetapi kerana mereka yakin pemimpin mereka itu dapat pimpinan langsung dari ALLAH, maka mereka pun boleh taat.

Syura dalam Islam dibenarkan dan digalakkan adalah terhadap perkara-perkara berikut:

1.            Perkara-perkara yang belum ditetapkan hukumnya oleh ALLAH SWT. Hukum-hakam yang sudah jelas sarih atau sahih dan qat’i kedudukannya dalam Islam, tidak boleh sekali-kali disyurakan. Seperti tentang wajibnya sembahyang, puasa, menutup aurat, berjihad, bersilaturahim dan lain-lain lagi. Demikian juga sebaliknya seperti haramnya arak, judi, zina, pendedahan aurat, bergaul bebas dan sebagainya. Perkara-perkara ini tidak boleh dimesyuaratkan lagi. Sebab ALLAH sudah buat keputusan. Ia tidak boleh dibatalkan dalam mesyuarat.

2.            Hukum-hakam yang belum lagi diijmakkan oleh ulama mujtahid yang ianya menjadi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

3.            Perkara-perkara yang belum diarahkan oleh ketua jemaah atau ketua negara. Bagi keputusan-keputusan yang sudah dibuat oleh ketua, dan sudah diarah agar dilaksanakan dalam keadaan arahan itu tidak bercanggah dengan syariat, tidak boleh disyurakan lagi. Sekalipun arahan itu kita tidak setuju dan tidak faham, namun kalau benar jemaah itu jemaah Islam, tentu mereka boleh taat kepada pemimpin mereka.

4. Perkara yang bukan keputusan dari satu syura yang telah dibuat sama ada dalam keluarga atau jemaah atau negara. Sebarang keputusan yang telah diambil oleh mana-mana syura, tidak boleh disyurakan sekali lagi. Tidak boleh ada satu syura lain untuk menolak satu keputusan syura yang telah diambil, yang keputusan itu dibenarkan oleh syariat. Ini berdasarkan firman ALLAH:

Bermesyuarat dengan mereka dalam sesuatu perkara; setelah k a m u bulat menerimanya, maka bertawakallah kepada ALLAH. (Ali Imran: 159)

Bila satu keputusan telah dibuat, jangan lagi ada yang berdolak-dalik, ragu-ragu, tidak puas hati dan rasa nak rombak balik. Laksanakanlah dengan bertawakkal kepada ALLAH. Hal ini pernah berlaku di kalangan para Sahabat dengan Rasulullah. Iaitu ketika mana terjadi para Sahabat mahu merombak satu keputusan syura yang telah dibuat setelah diputuskan bahawa mereka akan menentang musuh Quraisy di luar Kota Madinah (dalam Perang Uhud). Rasulullah berkata, pantang Rasulullah mengungkai keputusan syura.

Misalan yang lain ialah ketika mana satu keputusan telah dibuat untuk menjodohkan si polan dengan seorang perempuan. Tiba-tiba terjadi keraguan dengan keputusan tersebut. Maka dalam Islam, hukumnya tidak boleh membatalkan keputusan pertama itu. Tentang ragu-ragu itu hendaklah dihadapi dengan bertawakkal kepada ALLAH. Kecuali dengan alasan-alasan yang dibenarkan oleh syariat. Barulah keputusan pertama boleh diungkai. Umpamanya, didapati lelaki itu penipu, penjahat, berpenyakit dan buat lain-lain kerja terkutuk.

Oleh kerana perkara-perkara yang boleh disyurakan itu ialah perkara-perkara yang belum ditetapkan hukum dan caranya oleh ALLAH, perkara yang belum diarahkan oleh ketua dan perkara yang belum diputuskan oleh mana-mana syura sebelumnya, ertinya perkara-perkara itu ialah:

1.            Soal-soal teknik dan stail yang wajib dan sunat untuk dapat melaksanakan hukum-hakam ALLAH. Misalnya, dalam melaksanakan sembahyang boleh dibincangkan tentang tempat wudhuknya, tempat sembahyang, cara-cara nak ajak orang ramai sembahyang dan lain-lain lagi. Usaha-usaha untuk mengharamkan arak boleh disyurakan, umpamanya berbincang bagaimana nak menyekat penghasilan arak, pen-jualannya dan alternatif kepada arak, yakni penggantian kepada yang lain. Kiaskanlah dengan hal-hal lain seperti cara-cara nak bangunkan hospital Islam, di mana, bila, sebesar mana, bagaimana bentuknya dan sebagainya.

2.            Soal-soal ke arah perlaksanaan arahan ketua jemaah atau negara. Misalnya, ketua arahkan pindah. Maka syurakan bagaimana cara-cara perpindahan itu boleh dibuat. Atau ketua arahkan buat program Maulid Nabi, maka disyurakanlah cara-cara menjayakannya.

3.            Syura mengenai perkara-perkara yang harus hukum-nya. Misalnya, pembinaan tempat-tempat rehat, program musafir (ekspedisi), membangunkan tempat-tempat hiburan yang halal dan sebagainya.

Dalam Islam, dasar pemerintahan negara ditentukan oleh majlis tertinggi yang dinamakan Majlis Syuyukh (Dewan Eksekutif). Selain dari menentukan dasar, majlis ini juga merupakan badan yang meluluskan atau membuat keputusan.

terhadap persoalan-persoalan penting negara. Sebab itu ia disebut juga Majlis Tamfiz (Dewan Meluluskan). Yakni, ketua ragu-ragu untuk bertindak terhadap satu-satu keputusan

itu maka ia hendaklah dibawa ke Majlis Tertinggi (Syuyukh atau Tamfiz) untuk diputuskan dan diluluskan.

Contoh lain ialah tentang hukum-hakam yang tidak jelas dan tentang isu pemimpin dan kepimpinan negara, maka Majlis Syuyukhlah yang bertanggungjawab untuk memberi keputusan, melantik atau menggugurkan. serta membuat perubahan dari masa ke masa. Anggota Majlis Syuyukh boleh juga dipanggil Ahlul Halli Wal ‘Agdi. Ciri-ciri istimewa mereka ini ialah:

1.            Ulama yang bertaqwa

2.            Luas ilmunya

3.            Dihormati umum

4.            Berpengalaman

5.            Pengetahuan amnya luas

Dengan maksud supaya ciri-ciri ini membuatkan keputusan yang mereka buat akan diterima dan dihormati oleh orang ramai. Namun, mereka itu tidak mesti dari kalangan pemimpin rasmi. Siapa yang menepati ciri-ciri tadi, maka layaklah dijemput untuk menjadi Ahlul Halli Wal Agdi atau anggota Majlis Syuyukh.

Begitulah serba ringkasnya sistem syura menurut praktis Islam. Begitu simple, tenang, selamat dan memberi hasil yang besar dan hebat. Kenaikan pemimpin bukan hasil lobi tetapi dari hati. Pemimpin bukan makan gaji tapi bagaikan ayah yang menjaga anak-anak atas rasa tanggungjawab dan kasih sayang. Ayah dan ibu lebih suka tengok anak-anak senang dan bahagia sekalipun kerana itu dia terkorban.

Kerana itu Parlimen Islam bagaikan sebuah keluarga. Keluarga yang harmoni, yang aman damai dan penuh tanggungjawab. Tidak ada sengketa, mencaci-caci, mujadalah dan akhlak-akhlak buruk. Masing-masing takutkan ALLAH, tiada bermegah-megah. Masing-masing bermaksud mencari kebenaran bukannya kepentingan. Masing-masing bertanggungjawab dan tidak culas.

Dengan itu barulah lahir ketenangan di tengah masyarakat. Yang batil lenyap, kebenaran tertegak. Rakyat taat, pemimpin bertanggungjawab. Apa pendapat anda tentang parlimen yang berkasta-kasta, suka mujadalah (bertekak), sindir-menyindir, tidak serius, kebenaran tidak jelas, pemimpin di’boo’, jatuh-menjatuhkan, kerusi melayang dan penumbuk diacukan?