Bab 2 : Pemerintah Wakil ALLAH Bukan Wakil Rakyat

SEMUA idealogi dan isme di dunia ini memandang bahawa pemerintah atau pemimpin itu adalah wakil-wakil rakyat yang naik untuk memperjuangkan hasrat rakyat. Mereka akan bersuara mengikut suara rakyat, bertindak mengikut kehendak rakyat. Hakikatnya dasar pemerintah ditentukan oleh rakyat. Dengan kata lain, dalam sistem pemerintahan sekular, dasar dan matlamat pemerintahan ditentukan oleh akal dan nafsu manusia semata-mata. Itu pun bukan oleh pemerintah itu sendiri tapi oleh rakyat. Sebab itu pemerintah juga disebut wakil rakyat.
Dalam Islam, pemerintah ditunjuk atau dilantik oleh ALLAH, sama ada secara langsung’ atau tidak. Kalau nabi-nabi dan rasul-rasul ditunjuk secara langsung oleh ALLAH melalui wahyuNya. Manakala selain mereka, ditunjuk secara tidak langsung sama ada mereka ditunjuk atau diisyaratkan secara umum oleh Hadis ataupun dilantik melalui ahlul halli wal ‘aqdi. Sepanjang sejarah semua pemimpin Islam yang haq, yang pernah menegakkan keadilan bukan dipilih oleh rakyat melalui undian tetapi dinaikkan sendiri dengan persetujuan hati manusia atau dinaikkan oleh ahlul halli wal ‘aqdi. Demikianlah caranya ALLAH melantik wakil-wakil-Nya.Ertinya dalam Islam, pemerintah itu ialah wakil ALLAH. ALLAH yang lantik dan ALLAH yang naikkan. Jadi mereka bertanggungjawab untuk menjalankan dasar dan matlamat pemerintahan yang ALLAH tentukan. Yang semuanya telah termaktub dalam Al Quran dan Sunnah. Selaku wakil ALLAH, pemimpin-pemimpin itu adalah orang-orang yang faham tentang ALLAH, tahu tentang Kerajaan ALLAH, faham dasar dan matlamat pemerintahan yang ALLAH tentukan, faham hukum-hakam yang datang dari ALLAH dan tahu melaksanakannya. Sewaktu melantik mereka, ALLAH seolah-olah berkata begini:

“Bumi ini Aku yang punya. Manusia-manusia itu hamba-hamba Aku. Aku mahu bumi itu dan hamba-hamba Aku itu ditadbir, diurus, dididik, dipimpin dan dimajukan dengan sebaik-baiknya. Untuk itu, Aku lantik kamu jadi wakil Aku untuk menjalankan kerja-kerja pemerintahan seperti yang telah Aku tunjukkan dalam Quran dan Hadis NabiKu.”

Wakil-wakil ALLAH yang paling utama ialah nabi-nabi dan rasul-rasul. Berikutnya ialah para wali-Nya yang bertaraf mujaddid. Hadis juga ada menunjukkan kepimpinan Imam Mahdi dan Pemuda Bani Tamim dari Timur di akhir zaman ditunjuk oleh ALLAH melalui lidah Rasul-Nya. Begitu juga pemerintahan Muhammad Al Fateh telah diisyaratkan oleh Hadis. Oleh kerana mereka ini semuanya adalah wakil-wakil ALLAH yang ALLAH sendiri lantik secara langsung atau tidak, maka kita lihat pemerintahan dan kenaikan mereka begitu unik sekali. Mereka dilantik bukan hasil undian rakyat. Pemerintahan mereka benar-benar membawa keamanan dan kemakmuran pada negara dan rakyat.

Pemerintah atau pemimpin Islam yang tidak ditunjuk oleh wahyu secara langsung, hakikatnya adalah juga ditunjuk oleh wahyu kiranya ia dilantik oleh ahlul halli wal ‘aqdi. Kerana kaedah perlantikan pemerintah atau pemimpin melalui ahlul halli wal ‘aqdi, adalah kaedah yang ditunjuk oleh Al Quran. Maka menurut kaedah itu ertinya menerima pemerintah yang ditunjuk oleh wahyu secara tidak langsung. Sebab itu pada saya, Khulafa’ur Rasyidin dan lain-lain pemerintah yang dilantik oleh ahlul halli wal ‘aqdi adalah pemerintah yang ditunjuk oleh wahyu secara tidak langsung. Mereka itulah pemerintah Islam yang haq. Sebab itu hasil pemerintahan mereka sungguh luar biasa. Yakni tercapainya keamanan dan kemakmuran hakiki. Suasana yang ALLAH sendiri jamin kalau manusia benar-benar mengikut syariat-Nya.

Cara kenaikan wakil rakyat ialah melalui undian secara berparti. Untuk dapat undi, mereka cuma perlu pandai bercakap. Kalau pandai mengumpan lagi bagus. Selalunya pandai juga menghina dan memfitnah lawan. Kalau perlu, main kotor. Kerana politik Barat, orang Barat sendiri mengakui kekotorannya, “Politic is a dirty game”. Rakyat umum yang menilai kepimpinan seorang kerana kepandaiannya bercakap dan banyak berjanji manis, lalu memberi undi murah itu, maka naiklah si tukang pandai cakap tadi jadi pemimpin atau wakil rakyat.

Kenaikan wakil-wakil ALLAH menjadi pemerintah berbeza’ sekali dengan cara-cara kenaikan wakil-wakil rakyat tadi. Ini dapat dilihat bagaimana rasul-rasul, Khulafa’ur Rasyidin dan para mujaddid tampil menjadi pemimpin ummah. Mereka menjadi pemimpin sebelum dilantik jadi pemimpin rasmi lagi. Mereka mula memimpin dari seorang diri. Lama-kelamaan jadi beratus hingga beribu orang yang menerima kepimpinannya. Maka jadilah ia pemimpin dengan sendirinya untuk ribuan pengikutnya. Manusia menjadikannya sebagai tempat rujuk. Mereka serah diri dan serah hati padanya, bukan beri undi sahaja. Pada mulanya ia adalah pemimpin tidak rasmi atau termasuk juga sebagai ulil amri tidak rasmi. Bila tiba masa dan keadaan, ia ditunjuk untuk jadi pemimpin rasmi, bukan melalui undi tetapi dengan hati, yang ianya telah dipersetujui terlebih dahulu oleh ahlul halli wal ‘aqdi.

Terbukti dalam sejarah bahawa pemerintahan Islam yang sempurna, adil serta bijaksana kerana Penciptanya ialah Zat Yang Maha Bijaksana, telah menghasilkan sebuah masyarakat terbaik yang tiada tandingannya. Yakni masyarakat contoh generasi salafussoleh sekitar 300 tahun dari Rasulullah. Tentang ciri-ciri istimewa mereka waktu itu yang menjadikan mereka masyarakat terbaik akan saya sebutkan dalam bab khusus iaitu Pemerintah Contoh, insya-ALLAH. Walaupun berlakunya sudah seribu tahun lebih, namun Al Quran dan Sunnah tetap segar di tangan kita kini. Menuruti keduanya, ertinya mengulangi sejarah kegemilangannya.

Moga-moga ia benar-benar jadi kenyataan kalau perjuangan Islam yang sedang memuncak ini sampai ke matlamatnya.

Leave a comment