Bab 12 : Regu Dalam Pemerintahan

HUKAMA’ ada berkata:

Kebenaran yang tidak bersistem akan dapat dikalahkan oleh kebatilan yang bersistem.

Kata-kata ini memberi faham bahawa “pejuang kebenaran” yang tidak berdisiplin akan dikalahkan oleh pejuang pejuang kebatilan yang berdisiplin.

Pasukan pemain bola itu pun kalau mahu menang mesti menjadi regu yang padu. Sekiranya setiap pemain ikut selera masing-masing, sepak ke mana saja mereka suka tanpa mengikut disiplin permainan yang tepat, nescaya mereka akan gagal.

Seorang pemimpin Islam, yang inginkan kejayaan dalam pemerintahan mesti menyiapkan satu team kepimpinan yang jitu dan padu. Nak buat sebuah rumah pun, seorang arkitek mesti sediakan pekerja yang cukup dan terlatih di dalam pelbagai bidang, inikan pula nak bangunkan satu sistem hidup Islam yang syumul dalam sebuah negara, yang di dalamnya ada berbagai kementerian dengan dasar dan bidang masing-masing. Gambarkan arkitek membuat bangunan seorang diri. Bagaimana jadinya? Juga gambarkan kalau pemimpin itu hanya fikirkan dirinya saja dengan membiarkan orang-orang bawahannya buat hal masing-masing.

Seorang khalifah atau presiden atau perdana menteri di zaman moden ini, sekurang-kurangnya berbaris di belakangnya:

1.            Gabenor-gabenor.

2.            Menteri-menteri Pusat.

3.            Pegawai-pegawai tadbir.

4.            Rektor universiti bersama pensyarah-pensyarah dan guru-guru besar.

5.            Pengarah-pengarah media massa termasuk tv dan akhbar.

6.            Pakar-pakar ekonomi dan jutawanjutawan negara.

7.            Doktor-doktor dan pengarah perubatan.

8.            Ketua-ketua hakim, hakim dan peguam..

9.            Duta-duta ke luar negeri.

10.          Ketua polis dan ketua tentera.

Inilah dia orang-orang yang akan membantunya untuk jayakan sebuah Negara Islam. Kesemua bidang kerja ini mesti menjalankan dasar Islam yang dibuat oleh khalifah atau keputusan hasil syura Majlis Ahlul Halli Wal ‘Agdi yakni anggota Majlis Syuyukh (Majlis Eksekutif). Atau dengan kata lain oleh pemerintah.

Inilah dia golongan pelaksana polisi kerajaan. Atau orang-orang yang menjalankan dasar pemerintah. Mereka tidak boleh buat dasar sendiri. Kalau mereka pun ada undang undang tersendiri, ada cita-cita tersendiri, rosaklah program membangunkan Islam oleh pemerintah. Atau kalau mereka cuai dalam tugas atau tidak suka dengan pemerintah, itu pun boleh gagalkan rancangan kerajaan.

Oleh kerana itu, team ini mesti ikut disiplin betul-betul; rajin dan taatkan pemimpin. Di antara perkara-perkara penting yang orang-orang ini mesti lakukan betul-betul ialah:

1.            Menjadikan dasar perjuangan pemimpinnya itu sebagai dasar perjuangan mereka.

2.            Menjadikan matlamat perjuangan pemimpin sebagai matlamat perjuangan mereka.

3.        Menjadikan minda pemimpin mereka sebagai minda mereka. Dengan maksud mereka itu bersefahaman. Se-olah-olah kepala mereka satu.

4.            Mereka mesti menjadi orang-orang yang bertaqwa. Taqwa inilah yang menjamin kejujuran, amanah, ber-tanggungjawab, selamat dari fitnah perempuan dan lain-lain lagi.

5.            Menjadikan sikap, tindakan, akhlak dan cara hidup pemimpin, tiruan mereka. Dengan kata lain, mereka ini adalah bayangan pemimpinnya.

6.            Menjadikan ukhuwah dan kasih sayang sesama mereka bagaikan satu keluarga besar dengan pemimpinnya bagaikan ayah dan ibu.

Alangkah indahnya sebuah pemerintah yang kaki tangan, mata dan telinga semuanya bekerja keras untuk menjayakan cita-cita yang satu, dengan satu hati dan satu fikiran yang masing-masing bertaqwa kepada ALLAH. Sebaliknya alang kah kusutnya pemerintahan yang bercampur-aduk antara berbagai niat, kepentingan, mazmumah dan macam-macam minda dan fikiran. Pemimpin nombor satu dengan fahamannya, pemimpin nombor dua dengan ragamnya, pemimpin nombor tiga dengan putar belitnya, demikian pemimpin-pemimpin lain seterusnya. Apa akan jadi pada negara yang mereka perintah itu? Bolehkah ia dikatakan Negara Islam?

Mahu tidak mahu, pemimpin nombor satu mesti menyediakan pasukan pemerintah dan pentadbir-pentadbir negara yang satu cita-cita, bertaqwa, sama mindanya, saling her-. kasih sayang dan menuju ke matlamat yang satu. Barulah munasabah dia akan membawa satu perubahan kepada Islam yang syumul. Sesuai dengan cita-cita dan dasar perjuangannya. Negara Islam tidak boleh tegak kalau ianya hanya menjadi cita-cita pemimpin nombor satu sahaja.

Untuk tujuan di atas, langkah sebaik-baiknya bagi seorang yang ada cita-cita memerintah, ialah memulakan dengan melahirkan kawan-kawan dan pembantu-pembantunya. Mulakan dengan mendidik seorang demi seorang untuk menjadi seperti dia, sama ada dalam cita-citanya, ilmunya, jiwanya, kasih sayangnya dan lain-lain lagi. Hingga orang-orang itu merasa dia adalah ketua dan gurunya, walaupun dia sendiri tidak mengisytiharkannya begitu. Lama-kelamaan tentu terkumpul ramai kawan-kawannya hingga terbentuk sebuah jemaah walaupun tanpa daftar rasmi. Jemaah yang satu hati dan fikiran ini, diberilah tugas masing-masing mengikut kebolehan, minat dan profesion untuk membangunkan projek dalam jemaah sekaligus sebagai latihan memerintah. Maka terjadilah sebuah pemerintahan kecil Islam bagaikan satu pasukan pemain bola yang begitu padu, jitu dan berdisiplin.

Apa yang saya sebutkan itu, adalah cara-cara yang dibuat sendiri oleh Rasulullah SAW. Baginda mulakan pembinaan empayar Islam dengan mendidik seorang demi seorang seperti yang digambarkan. Dialah guru, pemimpin, perancang, pemikir dan ayah yang mendidik, memimpin dan membahagi-bahagikan kerja kepada anak-anak mengikut bidang masing-masing.

Keluarganya kian membesar, gabungan berbagai bangsa dan negara. Maka dengan stail yang tetap sama, terjadilah sebuah kerajaan Islam di Madinah. Yang kemudiannya membesar, mengIslamkan 3/4 dunia. Rasulullah jadi ayah dan pemimpin seumur hidup. Siapa yang masuk Islam, belajar darinya dan menganggap dia adalah guru bahkan ayahnya. Inilah dia punca jitu dan gagahnya kepimpinan baginda.

Hal ini kelihatan tidak berlaku lagi sejak beberapa ratus tahun kebelakangan ini. Umat Islam berjuang tanpa meniru disiplin Nabinya. Mereka lebih kebarat-baratan. Mereka mulakan cita-cita Negara Islam dengan mendaftar nama ahli-ahli di bawah satu badan berdaftar rasmi politik atau bukan. Pendaftaran itu didasarkan pada kehendak musuh politiknya pula. Ahli yang berdaftar itu hanya didasarkan kepada kemahuan individu tersebut dengan kesediaan membayar beberapa ringgit yuran. Tanpa mengambil kira apakah mereka betul-betul bercita-cita Islam, mahu dipimpin, sanggup taat, tanpa kepentingan dan tepat ilmunya.

Mereka pun buat mesyuarat untuk mengundi pemimpin. Tanpa mengambil kira apakah dia itu seorang pendidik, guru dan ayah. Keutamaan pemimpin hanya diukur pada sijil dan kepandaian bercakap. Maka berjalanlah perjuangan tanpa matlamat dan langkah-langkah yang disehalakan. Hati dan fikiran tidak di usaha satukan melalui satu sistem tarbiah yang lengkap. Tarbiah yang berkesan, yang hati, fikiran dan fizikal betul-betul Islam, dari minda yang benar-benar mentafsirkan Al Quran dan Hadis dari seorang pucuk pimpinan.

Maka tidak pelik, pengikut tidak dapat didisiplinkan untuk membangunkan cara hidup Islam dalam seluruh sistem hidup yang diperlukan oleh umat Islam, sekalipun dalam jemaah yang kecil. Apalagi kalau besar. Lalu dapatkah jemaah ini mengIslamkan sebuah negara dan dunia seluruhnya?

Leave a comment