Bab 11 : Memerintah Bukan Membuat Jasa

PEMERINTAH menerima tugas memerintah tidak sama dengan seorang kerani atau seorang mufti atau seorang guru rasmi menerima kerjayanya itu. Kerani, mufti atau guru rasmi meminta kerja itu, biasanya kerana mahu cari makan. Manakala pemerintah naik ke takhta pemerintahan adalah kerana cita-cita perjuangan. Pemerintah yang beriman dan bertaqwa bersedia menjadi pemerintah adalah kerana mahu menegakkan kalimah ALLAH dalam negara dan kehidupan seluruh rakyat serta untuk berkhidmat kepada rakyat.

Dengan kata lain, mereka jadi khadam rakyat. Agar sistem sekular diganti dengan sistem hidup Islam. Dengan cita-cita dan semangat perjuangan yang kuat, seluruh hidupnya dikorbankan untuk tujuan itu. Boleh dikatakan perjuangannya itu adalah hidup matinya. Dia bukan mahu duit, jawatan atau lain-lain kepentingan. Tapi yang diidamkannya ialah tertegaknya cara hidup Islam secara syumul dalam negara dan masyarakat serta dapat berkhidmat kepada rakyat. Demi kerana itu, dia bukan saja tidak minta apa-apa upah, bahkan harta bendanya pun habis dikorbankan ke sana. Kecuali kalau ia tidak mempunyai apa-apa, maka Islam membolehkan ia mengambil keperluan dan kemudahan dari negara. Sekadar itu saja.

Hal ini dibuktikan oleh Khalifah Umar Ibnu Aziz seelok saja ia menjadi pemerintah. Dia telah mengisytiharkan bahawa semua hartanya dan harta isterinya adalah milik negara. Ertinya, hartanya dijadikan modal demi menegakkan negara dan masyarakat Islam. Kerana hendak membina negara yang baik itu keperluannya amat banyak. Jadi apa saja pengorbanan dari semua pihak amat diperlukan. Dan khalifah sendiri adalah orang pertama yang melakukan pengorbanan itu. Sesudah menghabiskan harta bendanya, dirinya pun dikorbankan untuk cita-cita perjuangan hidup matinya itu. Yang mana selama menjadi khalifah (selama lebih 2 tahun), Sayidina Umar Ibnu Aziz tidak ada masa lagi untuk tidur dengan isterinya. Masanya dihabiskan untuk bekerja menegakkan cita-cita murninya itu.

Demikianlah bentuk pemerintah yang sebenar itu. Memerintah atas cita-cita perjuangan yang suci, mahu melihat agama ALLAH tertegak di bumi. Mahu membina sebuah negara yang aman, makmur dan mendapat keampunan ALLAH. Untuk itu mereka berkorban dan terkorban. Bukannya ambil gaji besar di atas tumpahan keringat rakyat. Sesuai dengan firman ALLAH:

Sesungguhnya AKU akan jadikan manusia khalifah di bumi. (Al Baqarah: 30)

Maka para pemerintah yang haq itu, ia adalah khalifah ALLAH atau wakil ALLAH. Ia diwakilkan oleh ALLAH, di atas muka bumiNya ini, untuk mengurus dan pengimarahan (memajukan) bumi ini tepat dengan syariat ALLAH serta dapat berkhidmat kepada hamba-hamba ALLAH. Itulah yang menjadi matlamat perjuangan serta pemerintahannya. Rakyat dididik dan diurus untuk menjadi hamba-hamba ALLAH yang taat dan patuh pada ALLAH. Serta bekerja keras untuk membangunkan bumi ‘ini menjadi benar-benar bumi ALLAH.

Demikianlah konsep pemerintahan yang sebenarnya, yakni para pemerintah sebagai wakil ALLAH untuk mencorakkan bumi dengan dasar dan matlamat yang ALLAH sendiri telah tetapkan. Wakil-wakil ini kemudiannya akan dipanggil balik ke hadrat ALLAH untuk dipertanggungjawabkan tentang tugas-tugasnya. Segala tingkah laku akan disoal dan ditanya. Rasulullah SAW bersabda:

Setiap kamu adalah penggembala dan kamu akan ditanya tentang gembalanya. Pemimpin adalah pengembalu dan dia akan ditanya tentang gembalanya. (Riwayat Al Bukhari)

Kalau ia berlaku adil, tepat dengan syariat maka selamatlah ia menjadi ahli Syurga. Sebaliknya kalau ia khianat, Nerakalah padahnya.

Jadi, memerintah ialah tugas dan khidmat serta tanggungjawab, bukannya jasa. Kebaikan-kebaikan yang dilakukan bukan satu pengorbanan atau budi baik yang mesti dibangga-bangga dan dimegah-megahkan. Tetapi ia adalah tugas yang wajib dilaksanakan. Ertinya kalau tugas itu dicuaikan, ia dikatakan khianat dan berdosa. Sebaliknya kalau dia bertanggungjawab dengan baik, itu bukan jasa yang perlu diberi pingat. Sebab ia cuma menunaikan kewajipan dan tugasnya. Sebab itu para pemerintah yang menjalankan amanah dengan melakukan kebaikan-kebaikan untuk rakyat, tidak sepatutnya mendabik dada mengakui berjasa. Lebih-lebih lagi tidak boleh berlagak sombong, angkuh dan menunjuk-nunjuk serta menyebut-nyebut jasa dengan riyak dan ujub.

Kebaikan yang dilakukan itu selain dari tanggungjawab yang mesti ditunaikan, ia juga bukan kuasa kita. ALLAH-lah yang telah memberikan hidayah dan taufiq hingga kita dapat melaksanakannya. Kalau begitu kita patutnya bersyukur kepada ALLAH kerana mengizinkan kita jadi pemerintah. Sedangkan kita pun hamba seperti hamba-hambaNya yang lain juga. Tetapi kita dilebihkan dengan kebolehan menjadi pemimpin. Kemudian sesudah itu diizinkan pula melakukan kebaikan-kebaikan terhadap rakyat di waktu pemerintah lain tidak mampu melakukannya. Maka sepatutnya kita rasa malu kerana diri yang dhaif diberi keupayaan istimewa daripada ALLAH dapat menggembirakan rakyat. Anugerah ini adalah ujian agar kita lebih hampir pada ALLAH. Bukan untuk menonjol-nonjol diri dengan menyebut-nyebut jasa. Tetapi kalau kita jadi sombong, angkuh, ujub dan riyak kerana kurniaan-kurniaan ini, itu ertinya kita hamba yang tidak sedar diri. Kalau tidak di dunia, di Akhirat pasti nahas. ALLAH berfirman:

Jangan kamu batalkan sedekah-sedekah kamu dengan , mengungkit-ungkit minta dibalas dan menyakiti (orang yang menerima) . (Al Baqarah: 264)

Satu hal lagi, yang mesti difahami ialah, pemerintah tidak boleh pilih kasih terhadap rakyat. Apa saja rancangan kemajuan dan bantuan mesti disamaratakan pada semua rakyat sekalipun ianya dari parti lawan. Sesuai dengan keperluan, kewajipan dan tugas-tugasnya. Pemimpin tidak boleh berdendam. Sebab ia memegang amanah untuk semua rakyat di seluruh negara sekalipun orang bukan Islam. Tidak juga boleh mengugut-ugut untuk menarik semula bantuan tersebut. Sebab ha1 itu adalah tanggungjawab, bukannya senjata politik untuk memancing undi.

Pemerintah yang adil akan menyamaratakan khidmat kepada rakyat, sekalipun yang tidak disukainya. Ingatlah firman ALLAH:

Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu pendukung kebenaran kerana ALLAH, juga menjadi saksi dengan penuh keadilan Dan janganlah kebencian kamu kepada sesuatu puak itu menyebabkan engkau tidak berlaku adil lagi. Berlaku adillah kerana adil itu menghampiri sifat taqwa. Dan bertaqwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al Maidah: 8)

Pemerintah yang bertaqwa, yakni takut pada ALLAH itu, bukan saja pada manusia, pada binatang pun ia boleh berlaku adil. Ini terbukti pernah dibuat oleh Sayidina Umar Al Khattab yang menangis kerana kematian seekor kambing. Ia berkata,

“Wahai Tuhan, jangan salahkan Umar ini kerana matinya seekor kambing rakyatku.”

Dan ini hanya dapat dibuat oleh orang-orang yang takut pada ALLAH sahaja.

Leave a comment