Bab 10 : Perhatian Untuk Parti-Parti dan Badan-Badan Islam

DENGAN izin ALLAH- saya telah dedahkan kelemahan-kelemahan sistem demokrasi dalam soal melantik pemimpin. Kemudian disusul pula dengan memperlihatkan keistimewaan Islam dalam soal tersebut. Maka di sini saya ingin menarik perhatian parti-parti Islam dan badan-badan Islam di seluruh dunia tentang persoalan pelantikan pemimpin ini.

Ada dua hal yang mesti difikirkan:

1.            Penyertaan mereka dalam demokrasi pilihan raya ala Barat.

2.            Cara pelantikan pemimpin yang dijalankan dalam parti dan harakah Islamiah.

Selaku orang-orang yang bercita-cita memperjuangkan hukum-hakam ALLAH, sedaya upaya sepatutnya kita mesti cuba untuk menjalankan seluruh hukum ALLAH itu dalam kehidupan. Kecualilah kalau memang betul-betul tiada upaya, mudah-mudahan ALLAH maafkan.

Dalam hal pemilihan pemimpin cara Barat dalam pilihan raya, itu jelas bertentangan dengan Islam. Bahkan ianya begitu lemah sekali. Namun parti-parti Islam tetap menyertainya juga dengan alasan tiada pilihan lain. Kononnya itulah satu-satunya cara untuk dapatkan kuasa memerintah Negara Islam. Saya walaupun tidak setuju dengan alasan itu, namun sedia bertolak-ansur untuk menerimanya. Tetapi dengan satu persoalan baru!

Bukankah dalam pemilihan pemimpin khusus dalam parti, tiada siapa lagi menghalang kita dari mengikut sistem Islam. Tetapi mengapa ianya tidak dilakukan? Mengapa hingga ke hari ini badan-badan dan parti-parti Islam itu masih meniru cara Barat dan membelakangkan cara-cara yang ditunjuk oleh wahyu?

Dalam mesyuarat agung atau di muktamar-muktamarnya, dijemputlah perwakilan-perwakilan dari seluruh negara termasuklah kaum-kaum ibu untuk ikut sama dalam pemilihan pemimpin. Yakni dengan menjalankan undian oleh ribuan orang yang hadir. Ertinya pemimpin yang naik adalah pilihan ribuan orang yang berbagai ragam, berbagai kehendak, berbagai pandangan, berbagai sifat yang semuanya mengharap pemimpin yang naik itu akan dapat memenuhi tuntutan dan kemahuan masing-masing. Dan sudah tentu berlaku sebelumnya lobi-melobi, pengaruh-mempengaruhi dan lain-lain lagi. Sehingga terjadilah hasilnya, pemimpin atau pemerintah dalam jemaah itu dicorak oleh pengikut atau rakyatnya.

Dasar dan matlamat pemerintahan dalam jemaah bukan ditentukan oleh pihak pemerintah tapi mengikut kehendak dan nafsu para perwakilan. Yakni kehendak-kehendak buruh, petani, nelayan, ahli sukan, bintang filem, artis, ahli akademik, pelajar dan lain-lain puak serta profesion yang berbeza satu sama lain, yang telah menjadi ahli parti itu. Maka dalam menunaikan 1001 tuntutan, dasar pemerintahan parti atau dasar jemaah terlebur dan terkorban di dalamnya. Pemerintah dan parti tidak dapat dijuruskan ke satu matlamat yang khusus, yang tepat dan membawa kebaikan yang mutlak mengikut Islam.

Sedangkan, dalam Islam para pemerintah adalah wakil ALLAH, yang akan menjalankan dasar dan matlamat yang ditentukan oleh ALLAH. Bukannya dasar dan matlamat yang ditentukan oleh para perwakilan atau rakyat. Rakyat mesti tunduk kepada dasar pemerintahan yang telah ditentukan oleh ALLAH. Sebab itu dalam Islam, pemerintah bukan dipilih oleh rakyat. Sebab rakyat bukan semuanya tahu apakah dasar-dasar dan syarat-syarat pemerintahan Islam itu. Orang yang tahu, faham dan adil dalam soal-soal kepartian atau kenegaraan dan pemerintahan ini dinamakan ahlul halli wal ‘aqdi. Mereka orang bertaqwa, orang alim, orang berwibawa,

orang berpengaruh, yang kata-kata dan pandangannya di terima dan diiktiraf oleh rakyat. Yang mana suaranya seolah-olah mewakili suara rakyat. Mereka ini disebut juga ulil umri yang tidak rasmi. Yakni pemimpin yang tidak rasmi. Walaupun tidak ditunjuk untuk jadi pemimpin rasmi tetapi kepimpinan dan kewibawaannya sudah diiktiraf oleh orang ramai. Sebab itu bila mereka itu menunjukkan calon pemerintah di dalam parti atau negara, pilihan itu adalah tepat dan menerima sokongan rakyat. Kenaikannya tidak menimbulkan perpecahan dan pertelingkahan di kalangan ahli parti atau rakyat.

Itulah cara Islam. Cara yang benar, tepat dan adil. Tetapi mengapa pemimpin-pemimpin parti Islam dan harakah Islam tidak melaksanakan hukum ini dalam jemaah mereka? Mengapa tidak diwujudkan majlis syura dengan nama ahlul halli wal ‘aqdi untuk menentukan pemimpin yang sebenar? Yakni yang layak menjadi wakil ALLAH untuk memimpin ahli parti atau rakyat di atas dasar yang ditentukan oleh ALLAH? Bukan ditentukan oleh perwakilan orang ramai di kalangan ahli parti sebagaimana mengikut demokrasi Barat. Sebabnya saya ulangkan lagi, bahawa dalam pandangan Islam pemerintah ialah wakil ALLAH untuk menjalankan dasar pemerintahan yang sudah ALLAH tentukan, dan bukannya wakil manusia untuk menunaikan tuntutan akal dan nafsu manusia yang sempit dan melulu itu.

Jadi soalnya mengapa orang-orang yang memperjuangkan Islam ini tidak melaksanakan sistem Islam dalam perjuangan mereka, khusus dalam soal pelantikan pemimpin ini? Kalau-lah persoalan ini didiamkan saja tanpa satu jawapan yang penuh tanggungjawab, kita akan jadi tertanya-tanya lagi, apakah mungkin mereka akan melaksanakan undang-undang Islam dan cara hidup Islam dalam negara seluruhnya kalau betul-betul mereka memerintah nanti? Sedangkan di satu sudut ini pun mereka sudah membohongi orang ramai di kalangan umat Islam yang tidak tahu bagaimana pemimpin di-lantik dengan cara Islam. Apa logiknya seseorang akan berjaya’ dalam satu kerja yang maha berat sedangkan terhadap satu kerja kecil pun tidak mampu dijayakannya?

Saya tidak fikir tokoh-tokoh pejuang politik Islam itu tidak tahu bahawa cara Islam melantik pemimpinnya adalah jauh lebih bijak dari cara-cara demokrasi pilihan raya atau cara mengundi yang dicipta oleh Barat itu. Tetapi mengapa mereka tetap mengikut cara-cara Barat yang tidak matang itu? Yakni melantik pemimpin dengan cara mengundi atau angkat tangan oleh beribu-ribu orang yang melihat kepimpinan dari sudut kepentingan mereka masing-masing. Yang mereka itu sebenarnya jahil tentang ilmu kepimpinan menurut Islam. Lalu pelantikan mereka terang-terangan salah dan bercanggah dengan syarat-syarat yang dikehendaki Islam. Ertinya pemimpin yang naik itu pun bukan pemimpin Islam yang sebenar. Yang tentunya tidak mampu menjalankan pemerintahan Islam dengan tepat, lalu apakan jadi dengan masyarakat dalam jemaah yang dipimpinnya?

Terjadi di satu negara kepada satu parti Islam sewaktu pemilihan pemimpin melalui undian dalam satu muktamar agungnya beberapa tahun yang sudah (tak payah disebutkan namanya), yakni seorang musuh yang menyamar, dihantar oleh parti lawannya telah terundi untuk jadi salah seorang pemimpin parti. Hal ini sepatutnya tidak mungkin terjadi kalau pelantikan dibuat secara Islam. Iaitu yang memilih itu di kalangan ahlul halli wal ‘aqdi sahaja.

Leave a comment