Bab 6 : Pemerintah Yang Adil

Di dunia merindui pemerintah yang adil, kerana hanya pemerintah yang adil saja yang dapat membawa perpaduan, keamanan, kedamaian, kemakmuran serta pengampunan ALLAH kepada penghuni dunia ini. Hari ini dunia tidak aman, tidak ada perpaduan, tidak ada kemakmuran yang menyeluruh dan jauh sekali dari mendapat keampunan ALLAH. Mengapa saya katakan dunia kini tidak ada perpaduan, tidak ada keamanan, tidak ada kemakmuran dan tidak diampunkan oleh ALLAH?

Sebab kalaulah dunia ini aman kerana dipimpin dan dididik oleh pemerintah yang adil, yang melahirkan manusia yang hidup di dalamnya penuh dengan keimanan, ketaqwaan, ketenangan, kelegaan, kepuasan dan kebahagiaan, ia sudah tentu sunyi dari kegelisahan, krisis, ketegangan, kesempitan dan penderitaan. Manusia dari semua lapisan dan golongan saling berkasih sayang, bertolong bantu, hormat-menghormati, bertolak-ansur, maaf-bermaafan, bekerjasama, boleh duduk bersama dan doa-mendoa. Ini kerana hati manusia sudah dibersihkan oleh pemimpin atau pemerintahnya atau melalui pendidikan, dari segala hasad dengki, dendam, sombong, bakhil, tamak, gila dunia, gila puji, gila pangkat dan lain-lain lagi. Bila hati tidak kotor lagi, manusia jadi orang-orang yang merendah diri sesamanya, pemurah, pemaaf, berkasih sayang, bertolak-ansur, mencintai kebenaran dan memburu kebaikan. Alangkah tenang dan amannya dunia ini waktu itu. Yakni mengulangi sejarah kehidupan generasi salafussoleh.

Saya katakan dunia kini tidak makmur kerana manusia sedang merasakan tidak cukup dengan segala apa yang ada padanya. Orang kaya pun merasa tidak cukup dan tidak puas. Apalagi orang miskin. Orang yang memiliki berpuluh-puluh buah banglo mewah pun tidak puas-puas. Orang yang bergaji besar pun masih tidak cukup dengan gajinya. Hampir tidak ada seorang pun manusia kini yang sudah tidak mahu ambil apa-apa lagi dari harta dunia ini.

Sebab itu tabung-tabung kebajikan dan baitulmal kosong. Sedangkan dalam masyarakat yang makmur, yang pernah wujud dulu itu, di bawah pemerintah yang adil, semua orang berebut-rebut mengisi tabung kebajikan dan baitulmal terutama orang kaya. Mereka lebih suka memberi daripada menerima. Sebab itu negara dan masyarakat jadi begitu makmur dengan harta yang berlebihan dalam tabung-tabung kepunyaan masyarakat. Individu-individunya merasa kaya, cukup dan puas dengan apa yang ada.

Hari ini kalau manusia boleh berubah menjadi orang-orang yang suka memberi dari menerima, cukup dengan harta yang sedikit, apatah lagi harta yang banyak, tentunya segala kekayaan individu akan jadi milik masyarakat, memenuhi ta-bung-tabung kebajikan dan baitulmal. Tidak akan ada yang terlalu kaya dan tidak ada yang terlalu miskin. Semua merasa cukup keperluannya dan kemakmuran negara terasa dan dikecapi oleh semua. Hari ini orang yang paling kaya pun tidak rasa cukup kerana hatinya dengan ALLAH dan pautan pada Akhirat telah terputus sama sekali.

Mana ada negara di dunia hari ini yang ada padanya harapan pengampunan dari ALLAH? Sedangkan syarat ini penting sekali dipenuhi oleh sesebuah negara demi tercapai nya negara yang bersih dari sebarang maksiat dan mungkar.

Selagi negara itu belum dapat mengawal dan membersihkan sebarang maksiat dan mungkar, bolehkah dibanggakan negara itu sebagai negara yang baik? Bolehkah pemerintahnya disebut sebagai pemerintah yang adil?

Demi tercapainya sebuah negara yang aman, makmur dan mendapat keampunan ALLAH inilah maka kita amat memerlukan pemerintah yang adil. Erti adil itu apa? Adil mengikut pengertian biasa dan mengikut istilah bahasa ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Misalnya kopiah dipakai di kepala, kasut dipakai di kaki, itulah adil namanya. Tapi kalau kasut dijunjung, kopiah dipijak, itu tidak adil namanya atau tidak cocok dan tidak kena tempatnya. Demikianlah seterusnya.

Namun dalam konteks pemerintah yang adil, keadilan tidak lagi boleh disandarkan pada pengertian menurut istilah bahasa atau pengertian biasa yang tersebut itu. Sebab ia tidak cukup luas untuk mencakup seluruh bidang dan gelang gang pemerintah dalam negara.

Pengertian adil menurut syariat Islam ialah menjalankan hukum-hakam ALLAH pada sebarang tindak-tanduk, pembangunan, percakapan dan hukuman (yang hendak dijatuhkan kepada pesalah). Dengan kata lain, keadilan itu terbahagi kepada beberapa bahagian:

1.            Menjalankan aktiviti dalam semua tindak-tanduk serta dalam semua sistem hidup seperti pendidikan, ekonomi, kesihatan, pertanian, pentadbiran dan lain-lain, selaras dengan syariat Islam.

2.            Membentuk atau mendidik insan supaya menjadi hamba dan khalifah ALLAH serta meletakkan mereka tepat pada tempatnya sesuai dengan kebolehan, kemampuan dan peranan masing-masing. Dan memberi peluang untuk mereka menyumbangkan kreativiti asalkan tidak melanggar syariat.

3.            Menjalankan hukum-hakam ALLAH iaitu hukum hudud, qisas dan ta’zir dalam sebarang hukuman yang hendak dijatuhkan kepada pesalah.

4.            Sebarang tindakan dan hukuman syarak itu hendak-lah dijalankan kepada sesiapa saja dan pada semua golongan tanpa kecuali termasuk menteri-menteri, raja-raja dan hakim-hakim.

5.            Membahagi-bahagikan harta benda negara dan kemudahan untuk rakyat dan pembayaran dengan tepat mengikut keperluan dan tanggungjawab, tanpa pembaziran dan sia-sia.

6.            Diri peribadi para pemerintah juga selaku warga negara tidak boleh terkeluar atau terkecuali dari langkah-langkah atau hukum-hukum keadilan yang telah digariskan dalam negara. Pemerintah bukan golongan istimewa terhadap tuntutan-tuntutan melaksanakan hukum-hukum ALLAH. Semua orang sama sahaja di sisi ALLAH sekalipun dia seorang raja, presiden atau perdana menteri. Kalau bersalah mesti dihukum. Kalau tidak bersalah mesti dilepaskan dari hukuman.

Perlu diingat bahawa pemerintah umpama ayah terhadap rakyat. Kalau ayah tidak pernah menuntut apa-apa dari anak-anak yang dibesarkan, demikianlah pemerintah, tidak mencari keuntungan apa-apa dalam menjalankan tanggungjawabnya terhadap rakyat. Juga tidak mengungkit-ungkit jasa mereka kepada rakyat.

Huraian Keadilan Dalam Konteks Pemerintahan

Keadilan yang dituntut oleh Islam terhadap. orang yang bersedia memikul amanah memerintah negara seperti yang saya senaraikan di atas, dapat dihuraikan seperti berikut:

1. Pemerintah yang adil itu dapat selaraskan semua tindak-tanduk dengan hukum fardu dan sunat yang telah ditentukan oleh ALLAH. Serta dapat hindarkan perkara-perkara yang haram dan makruh. Termasuk dalam tuntutan ini . semua kerja-kerja pembangunan di bidang ekonomi, pendidikan, kesihatan, pertanian, kebudayaan, pentadbiran, sosial, politik dan lain-lain lagi. Pemerintah yang gagal menepati syarat ini dikira sebagai pemerintah yang zalim terhadap hukum ALLAH dan segala tindakan dan sumbangannya tidak bernilai di sisi ALLAH.

Sebaliknya pemerintah yang taat pada ALLAH, menegakkan hukum-hukum wajib dan sunat dan menjauhi perkara yang haram dan makruh dalam pemerintahan di semua aspek, dalam melayan rakyat yang berbagai-bagai itu, adalah pemerintah yang berjaya menegakkan hukum dan tamadun Islam. Usaha-usahanya menjadi ibadah. Lagi banyak pembangunan dilakukan ertinya lagi banyak ibadahnya pada ALLAH dan lagi hebat kemajuan dan tamadun berlaku dalam negara. Di Akhirat, pemerintah yang adil ini akan menerima ganjaran pahala yang besar di sisi ALLAH. Layaklah Syurga untuk tempat istirahatnya.

2. Para pemerintah mesti memastikan semua rakyatnya terdidik dan terpimpin. Rakyat tidak boleh dibiarkan tanpa didikan dan pimpinan. Rakyat yang Islam mesti diasuh dengan iman dan syariat Islam. Mereka mesti diajar tentang dunia dan Akhirat. Yakni supaya sesuai dengan keyakinan mereka bahawa hidup di dunia cuma sementara, hidup di Akhirat yang kekal abadi. Dan kepada rakyat yang bukan Islam mesti diusahakan supaya Islam (selamat) secara berhikmah, bukan dipaksa.

Selama ini dalam pemerintahan-pemerintahan di negara-negara umat Islam di dunia, rakyat yang Islam dibiar untuk hidup memburu dunia semata-mata tanpa memburu Akhirat yang maha tinggi itu. Ilmu dunia diberi setinggi-tingginya tetapi ilmu Akhirat dicatu dan disempitkan atau tidak dikisahkan langsung. Akibatnya, umat Islam tidak jadi betul-betul Islam. Rakyat jadi umat yang hanyut dalam jahiliah sekularisme, hidup tanpa identiti dan tanpa pembangunan tamadun Islam yang gagah dan agung.

Rakyat yang sudah diberi ilmu dunia dan Akhirat, hendaklah pula disusun atur peranan dan bidang tugas masing-masing di kedudukan yang tepat. Supaya tidak ada rakyat yang tercicir, menganggur, membuang tenaga dan sia-sia.

Setiap rakyat mesti ada tugas sesuai dengan profesionnya sebagai sumbangan kepada negaranya di samping mendapat rezeki yang halal.

Pemerintah juga mesti memberi peluang atau kebebasan kepada rakyat untuk berkreativiti, selagi kerja itu tidak bertentangan dengan syariat. Kalau ianya bertentangan dengan syariat, pemerintah mesti tegas menghalangnya. Kerajaan yang membenarkan pertunjukan-pertunjukan maksiat oleh keluarga-keluarga diraja atau oleh pihak yang ada kepentingan kepada mereka atau pihak keluarga, sebaliknya hanya menghalang perkara yang haram itu dari orang-orang bawahan adalah pemerintah yang tidak adil.

3.            Pemerintah mesti menjalankan hukum ALLAH. Yakni hukum hudud dan hukum takzir. Hukuman-hukuman ini diputuskan oleh mahkamah terhadap pesalah-pesalah tanpa mengira siapakah yang bersalah itu. Sama ada raja atau rakyat jelata, orang kaya atau miskin, berjawatan besar atau berjawatan kecil, semuanya mesti dihukum bila bersalah. Dan semuanya mesti dibebaskan kalau tidak bersalah.

Hukuman-hukuman ALLAH ini adalah hukuman yang adil. Kadar hukumannya tepat dengan kadar kesalahan yang . dilakukan. Sebab itu ianya amat berkesan untuk membuatkan pesalah serik dan berhenti dari kesalahannya. Orang yang melihat pun tidak akan berani untuk melakukan kesalahan tersebut. Untuk huraian panjang lebar sila rujuk buku saya FALSAFAH PERLAKSANAAN HUKUM HUDUD DALAM MASYARAKAT.

4.            Pemerintah yang adil cukup berhati-hati dalam masalah harta negara dan rakyat. Harta yang begitu banyak yang diserahkan padanya, adalah amanah yang mesti dipikul de-ngan sebaik-baiknya. Harta itu mesti digunakan dan disalur-kan dengan sebaik-baiknya tanpa mengambil apa-apa kepen-tingan. Kita hairan lumrah berlaku, para pemerintah tergamak mengambil gaji yang sangat besar, menimbun wang di bank-bank dan membuat berbagai-bagai harta seelok mereka jadi orang besar negara.

Lumrah di mana-mana negara di dunia kini, pemerintah dan pembesarnya menjadi kaya-raya apabila memegang jawatan tersebut. Seolah-olah jawatan itu satu peluang untuk cari harta benda. Seolah-olah bila jadi pemerintah seseorang berhak untuk mengaut harta negara untuknya. Seolah-olah memerintah itu satu ‘bisnes’ yang sangat menguntungkan. . Atau seolah-olah ladang yang memberi hasil lumayan.

Dalam Islam, seperti yang dipraktikkan oleh Rasulullah dan Khulafa’ur Rasyidin, pemerintah ialah khadam yang berkhidmat untuk rakyat. Mereka bukan saja tidak mengambil harta rakyat yang diamanahkan, bahkan harta-harta mereka pun dikorbankan untuk kepentingan negara dan rakyat. Mereka hidup lebih zuhud daripada rakyat bahkan mati tidak meninggalkan apa-apa untuk dipusakakan pada waris-warisnya.

Ertinya dalam Islam, kepimpinan atau pemerintahan ia-lah perjuangan atau lambang khidmat yang membahagi-bahagi dan mengagih-agihkan keperluan untuk membina negara yang aman, makmur dan mendapat keampunan ALLAH, sepertimana yang ALLAH syaratkan. Maka untuk mendapatkannya, pemerintah perlu lakukan segala upaya dan pengorbanan. Mereka mesti buktikan pada ALLAH kejujuran mereka menerima amanah yang besar itu. Kalau mereka gagal bererti mereka tidak lulus dalam ujian, dan hukuman ALLAH amat berat sama ada di dunia atau di Akhirat.

Sebab itu Sayidina Umar Ibnu Khattab sewaktu jadi pemerintah, di satu musim kemarau telah bersumpah untuk tidak makan kecuali minyak zaitun dan roti. Beliau tidak mahu rakyatnya susah. Beliau ingin untuk sama-sama menanggung dan merasai masalah rakyat. Hingga kerana itu, wajahnya jadi kekuningan kerana hanya memakan minyak zaitun.

Hal ini tidak berlaku dalam konsep pemerintahan sekular. Yang para pemerintahnya telah menjadikan tugas kepimpinan sebagai perlumbaan untuk menjadi kaya-raya. Perihal nasib rakyat dan negara adalah soal berikutnya yang dirasakan tidak akan ada siapa yang akan meminta mereka pertanggungjawabkan. Maka jadilah di dunia kini si kaya menekan si miskin. Orang besar menelan orang kecil. Negara kaya, kaya sekaya-kayanya; negara miskin, miskin semiskin-miskinnya. Mana ada negara yang betul-betul aman, makmur dan mendapat keampunan ALLAH hari ini? Sekalipun negara yang kaya apalagi yang miskin.

Kalaulah pemerintah-pemerintah orang Islam kembali mengamalkan sistem pemerintahan Islam, barulah mungkin umat Islam jadi empayar sekali lagi. Tetapi selagi pemerintah hidup kaya-raya, rakyat terbiar, negara berhutang, nasib disandarkan pada musuh, sistem hidup meniru cara Barat, rakyat tidak dididik dengan iman dan Islam, selama itulah negara-negara umat Islam tidak akan bersatu, aman, makmur dan mendapat keampunan ALLAH. Bukan saja tidak boleh jadi negara maju bahkan akan terus dijajah lahir batinnya. Firman ALLAH dalam surah Al An’am:

Dan DIAlah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan DIA meninggikan sebahagian kamu dari sebahagian yang lain beberapa darjat untuk mengujimu tentang apa yang diberikanNYA padamu Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat seksaanNYA dan sesungguhnya DlA Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Al An’am: 165)

5. Pemerintah dan keluarga mereka tidak boleh dikecualikan dari segala peraturan dan hukuman dalam negara. Rasulullah pernah bersabda:

Kalaulah Fatimah anak Muhammad mencuri, pasti ku-potong tangannya. (Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah lagi,

Dari Aisyah r.ha bahawa Rasulullah SAW bersabda: Apakuh kamu meminta kecuali dari hukuman hudud? Kemudian baginda bangun lalu berucap, sabdanya: Wahai manusia sesungguhnya binasa mereka yang sebelum kamu ialah kerana apabila orang ternama di kalangan mereka mencuri didiamkan saja, tapi apabila orang bawahan mencuri lalu dihukum hudud. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maknanya dalam Islam siapa saja yang bersalah mesti dihukum dengan seimbang, sekalipun ia dari keluarga diraja atau dari keluarga pemerintah. ALLAH berfirman lagi dalam surah Al An’am:

Dan apabila kamu berkura (dalam memutuskan hukuman) maka berlaku adillah walaupun dia adalah kerabatmu dan penuhilah janji ALLAH (perintah-perintah-NYA) .(Al An’am: 152)

Pemerintah yang melindungi dirinya, keluarga, klik-kliknya dan golongan diraja dari hukuman adalah pemerintah yang tidak adil dan tidak jujur dalam menegakkan kebenaran dan kebaikan. Sebab membiarkan pesalah tanpa dihukum sebenarnya membenarkan dia terus jahat dan terbiar (tidak dididik). Selain dari itu, rakyat yang terhukum, akan sentiasa tidak puas hati kerana ada orang lain yang juga bersalah tapi dilepaskan atau dilindungi dari hukuman hanya kerana dia dari keluarga pemerintah atau keluarga diraja. Hal ini membuatkan rakyat jadi liar dan tidak puashati dengan pemerintah. Bila keadaan-keadaan ini berlaku dalam sebuah negeri atau negara; hilanglah barakahnya dan berlakulah bermacam-macam masalah yang tidak dapat dikawal.

Menurut Islam, sebuah pemerintahan yang tidak adil, akan jatuhlah ia kepada salah satu hukum fasiq, zalim atau kafir. Bergantunglah kepada bentuk-bentuk atau sebab-sebab pe-nolakan mereka kepada hukum-hukum ALLAH. Namun dalam hal ini, perlu saya ingatkan bahawa dalam Islam, hukum fasiq, zalim dan kafir ini bukan sahaja ditujukan kepada pemerintah yang menolak hukum ALLAH. Tetapi siapa juga kalau menolak hukum ALLAH sama ada dalam diri, rumahtangga atau jemaah, jatuhlah ia ke dalam salah satu hukuman itu.

Rakyat juga tidak boleh mengata-ngata pada pemerintah yang tidak adil saja. Kerana pemerintah itu naik dari rakyat. Bagaimana rakyat, begitulah pemerintah. Sebaik-baiknya kedua-dua rakyat dan pemerintah taat pada ALLAH, barulah terbentuk keadilan yang sempuma. Berjayanya Khulafa’ur Rasyidin melaksanakan pemerintahan yang adil adalah kerana rakyat mereka secara umum orang-orang soleh dan solehah. Yakni orang yang berlaku adil pada diri masing-masing. Rakyat sangat membantu dalam menjalankan atau mengingatkan pemerintah kepada keadilan. Sebab itu pernah seorang pemerintah bernama Makmun mengingatkan rakyatnya:

“Kamu meminta aku menjalankan pemerintahan yang adil seperti yang dilakukan oleh Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar. Maka untuk itu kamu sendiri hendaklah menjadi sebagaimana rakyat kedua-duanya yakni rakyat yang baik.”

Ya, rahsia utama untuk membangunkan pemerintahan yang adil adalah mengusahakan taqwa di pihak pemerintah dan rakyat. Sebab itu, bagi mereka yang merindukan negara adil, aman, makmur dan mendapat keampunan ALLAH, taqwa mesti disediakan sebagai tapaknya oleh pemerintah dan juga rakyatnya.

Leave a comment